PERKEMBANGAN EMOSI
Para remaja, umumnya mengalami banyak perkembangan emosi. Emosi memainkan peranan yang besar dalam hidup remaja. Kadang-kadang, emosi lebih berpengaruh daripada fikiran. Ini adalah kerana:
a. Perubahan mendadak pada perkembangan fizikal. Mereka mengalami masalah dalam menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal ini. Contohnya, remaja mula mempersoalkan tentang perubahan dirinya, wajahnya yang berjerawat, kulit yang gelap dan sebagainya.
b. Daya pemikiran remaja masih belum cukup matang untuk berfikir secara nasional logik dan objektif.
Justeru itu, tingkah laku dan tindak-tanduk mereka lebih banyak dipengaruhi oleh emosi. Secara umumnya, remaja adalah transisi daripada zaman kanak-kanak ke zaman dewasa, ini menyebabkan remaja sering mengalami ‘krisis’ identiti. Mereka sering tertanya-tanya ‘Siapakah saya?’, ‘Apakah nilai yang harus dipegang?’ dan ‘Apa yang aku hendak dalam hidup ini?’. Jika keadaan ini berterusan, Ia akan memberikan tekanan dan konflik dalam kehidupan remaja.
Selain itu, pertumbuhan organ dan kelenjar seks telah menimbulkan keinginan remaja kepada jantina yang berlawanan dengan diri mereka.
Dalam perkembangan emosi, remaja perempuan dikatakan lebih sensitif dan terlalu emosional. Mereka mudah menangis, merajuk, tersinggung jika tidak mendapat perhatian. Apatah lagi, jika mereka gagal dalam percintaan, maka akan timbul perasaan risau, bingung, kesepian dan sedih sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang tidak diingini.
Bagi remaja yang tidak dibimbing dengan nilai-nilai agama secara komprehensif, perubahan ini kerapkali menimbulkan kesan negatif pada diri mereka. Tambahan pula dengan faktor - faktor persekitaran seperti pendedahan perkara - perkara seks, melalui media massa dan majalah lucah akan membawa mereka ke arah perkara-perkara yang diluar batasan agama.
http://www.cybermelayu.com